APA ITU CINTA

APA ERTI CINTA?
Dalam memberikan pendapat tentang cinta, Imam al-Ghazali dalam bukunya Kimia as-Sa'adah (Rahsia Kebahagiaan) mendefinisikan cinta sebagai "Satu kecenderungan yang membawa kepada perasaan yang menyenangkan. Ia adalah tarikan pemikiran, kesudian dan kecenderungan kepada yang disukai.”
Manakali ilmuan tersohor, Profesor Dr Hamka dalam memberikan pendapat tentang cinta menyatakan bahawa, "Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Cuma tanah yang berlainan menerimanya.
Jika ia jatuh ke tanah yang tandus, tumbuhlah kedurjanaan, kedustaan, penipuan, langkah serong dan lain-lain perkara tercela. Tetapi jika ia jatuh ke tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji."
Begitu indah ungkapan cinta diterjemahkan oleh dua insan mulia ini, Imam al-Ghazali dan Profesor Dr Hamka. Namun bagaimana pula tafsiran cinta oleh remaja secara umumnya. Adakah ia selari dengan ungkapan yang diberikan para ulama dan cerdik pandai, atau menepati kehendak agama dan adat? Adakah ia mengambil kira antara kebaikan dengan kemudaratan?

Antara cinta dengan C.I.N.T.A

Remaja dan cinta bagaikan dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Ketika di ambang usia remajalah, cinta mula dikenali. Semuanya berlaku apabila seorang insan yang dahulunya kanak-kanak kini mengalami perubahan dari sudut fizikal, mental, emosi, sosial dan moral. Inilah perubahan yang membawa seorang insan ke alam yang penuh mencabar iaitu alam remaja.
Ketika menjadi salah seorang panelis forum remaja dan cinta di sebuah kolej di Negeri Sembilan baru-baru ini, Ustaz Wan Aminuddin Haji Wan Abdullah berkongsi tentang C.I.N.T.A. Dalam ceria beliau menterjemahkan C.I.N.T.A. sebagai "Cuma Ingin Nak Test Aje".
Maka atas tafsiran inilah cinta yang suci menjadi mimpi ngeri bagi sesetengah remaja. Buktinya ialah apabila bertambahnya kes-kes perzinaan, kehamilan luar nikah, pembuangan bayi secara berleluasa dan pelbagai lagi penyakit sosial dalam kalangan remaja yang menjadikan cinta sebagai "C.I.N.T.A".